Umno wajib utama pelaksanaan hudud
- Abdul Hadi Awang - 2:55PM Ogos 26 2012
ULASAN Hudud adalah salah satu daripada
cabang hukum jenayah mengikut syariat Islam, wujudnya bersama Qisas dan
Takzir. Hukum Hudud adalah hak Allah yang dinaskan dalam Al-Quran dan hadis
yang menjelaskan kesalahan dan hukumannya, dasar dan sebahagian huraiannya.
Bagi penganut Islam seluruhya maka tentulah wajib beriman dan beramal dengan Islam yang menjadi agama cara hidup. Tuntutan untuk beriman dan beramal dengan Islam adalah bukan sahaja wajib ke atas ahli PAS dan penyokongnya, bahkan juga wajib kepada semua penganut Islam dalam NGO atau secara individu dan ahli mana-mana parti politik, termasuklah ahli Umno yang beragama Islam, walau pun Umno adalah sebuah parti kebangsaan yang membuka pintu keahlian kepada bumiputra bukan Islam seperti orang asal dan Siam.
Bagi penganut Islam seluruhya maka tentulah wajib beriman dan beramal dengan Islam yang menjadi agama cara hidup. Tuntutan untuk beriman dan beramal dengan Islam adalah bukan sahaja wajib ke atas ahli PAS dan penyokongnya, bahkan juga wajib kepada semua penganut Islam dalam NGO atau secara individu dan ahli mana-mana parti politik, termasuklah ahli Umno yang beragama Islam, walau pun Umno adalah sebuah parti kebangsaan yang membuka pintu keahlian kepada bumiputra bukan Islam seperti orang asal dan Siam.
Seluruh
majoriti penganut Islam dalam Umno wajib beriman dan beramal dengan
Islam mengikut panduan Al-Quran dan Sunnah, sama sahaja dengan ahli PAS dan penyokongnya.
Ayat-ayat Al-Quran yang menyatakan hukum dan perintahnya, antara lain telah dinyatakan oleh Allah di dalam Surah Al-Maidah dan Surah Al-Nur, di mana kedua-duanya adalah surah Madaniyyah (yang diturunkan di Madinah).
Permulaan
ayat ini sangat tegas, dengan maksud: Wahai orang-orang Yang beriman, penuhi
serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.
Di
antara perjanjian itu ialah mengucap Dua Kalimah Syahadah, mengaku dan
percaya menjadi penganut Islam. Pengucapan dan penerimaan dua kalimah
syahadah ini adalah syarat terpenting menjadi seorang Islam, iaitu beriman
dengan Allah dan RasulNya.
Firman
Allah bemaksud: “Ini ialah satu ‘surah’ yang Kami turunkan, dan Kami
wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan
yang nyata supaya kamu beringat (mengamalkannya)”.
Adapun
melaksanakan undang-undang syariat Islam seperti hudud, qisas dan takzir
ini pula wajib melalui proses kehakiman Islam dan sistemnya yang adil.
Maka
haram dilaksanakan secara spontan oleh individu, atau keluarga atau JKK
peringkat kampung atau kumpulan atau penguasa daerah atau negeri,
tanpa suatu proses kehakiman. Sistem kehakiman Islam pula dipayungi oleh kuasa
politik sepenuhnya dengan adanya negara berdaulat atau kerajaan yang
berkuasa. Di sinilah maka Rasulullah SAW tidak melaksanakan undang-undang hudud
ketika berdakwah di Mekah iaitu ketika tidak mempunyai kuasa pemerintahan.
Pelaksanaannya berlaku di Madinah, iaitu setelah adanya kuasa negara dalam
sistem politik dengan penubuhan kerajaan yang berdaulat dan mengadakan
sistem kehakiman melalui seluruh perjalan mahkamah.
Adanya
penganut bukan Islam dalam masyarakat majmuk adalah tidak menjadi halangan, di
mana banyak ayat-ayat dalam surah Madaniyyah yang sebab turunnya adalah bagi
menjawab kalangan bukan Islam yang menentang hukum Hudud dan sebagainya, dalam
keadaan mereka berada bersama masyarakat majmuk di-Madinah.
Pelaksanaanya
pula tanpa menunggu seluruh rakyat faham atau bersetuju, kerana kefahaman
berlaku dan terjadi melalui proses pelaksanaannya. Akhirnya seluruh anggota
masyarakat Madinah menerima hukum hudud, termasuklah bukan Islam secara tanpa
paksaan, setelah mereka melihat kesannya yang mampu mendidik masyarakat,
keadilannya yang menyeluruh dan wujudnya rasa selamat dari gangguan penjenayah.
Perlu
juga kita fahami bahawa hukumannya adalah sangat menggerunkan, tetapi
syarat menjatuhkan hukuman dan pelaksanaannya adalah sangat sukar
atau ‘sangat memayahkan’ dengan syarat-syaratnya yang sangat ketat.
Ini berlaku apabila individu yang dituduh atau wakil (peguamnya) mengadakan hanya
sedikit alasan yang kecil maka hukuman hudud tidak boleh dijatuhkan,
pilihannya sama ada dibebaskan atau dikenakan hukuman takzir yang lebih
ringan daripadanya. Hujah bahawa hudud sangat sukar dikenakan akan menyebabkan
penjenayah terlepas adalah sama sekali tidak benar, kerana hukuman takzir dalam
kerangka hukuman yang sedia ada seperti Penal Code pada waktu ini pula akan
mengambil tempatnya. Manakala tindakan bertaubat di luar mahkamah adalah lebih
digalakkan daripada diheret ke mahkamah.
Hukuman
hudud tidak dijatuhkan keatas penjenayah oleh beberapa khalifah Islam, bukan
kerana meninggalkannya, tetapi kerana syaratnya tidak mencukupi. PAS hanya
berkuasa di peringkat negeri Kelantan dan pernah di Terengganu melalui sistem
demokrasi dan federalisme. Umno pula melanggar adab dan akhlaknya apabila
tidak menghormati konsep demokrasi dan federalisme ini dengan mendera rakyat
negeri Kelantan dan Terengganu yang menolak Umno-BN dalam pilihan raya itu.
Walaupun berdepan dengan kekangan ini, PAS tetap secara konsisten melangkah
menunaikan kewajipannya melaksanakan Islam sebagai ad-din.
Akhirnya,
undang-undang jenayah Islam bersama undang-undang yang lain telah dibentang dan
diluluskan melalui DUN yang dipilih melalui pilihan raya umum lalu. Peringkat
pertama PAS menang di Kelantan di awal 90-an bersama Semangat 46. Dalam
melaksanakan amanah ini, Kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS
dengan berpandukan bidang kuasa kerajaan negeri, di antaranya melaksanakan
beberapa aspek hukum Islam di bawah kuasa majlis perbandaran dan daerah seperti
menghapuskan lesen premis perjudian serta mengawal penjualan arak bagi rakyat
bukan Islam sahaja serta membenarkan perkara yang diizinkan oleh agama
masing-masing, termasuk dalam perkara hak penganut agama bukan Islam yang wajib
dilindungi.
Bagi
undang-undang jenayah syariah, kerajaan negeri terlebih dahulu menyusun
daripada nas al-Quran dan hadis. Ianya disusun secara terkini oleh kalangan
para ulama dan pakar undang-undang daripada kalangan PAS bersama ahli-ahli
akademik daripada pusat pengajian tinggi. Setelah selesai maka ianya dibawa
kepada umum sebelum dibentang ke dalam DUN Kelantan.
Draf
cadangannya pula telah terlebih dahulu dibentangkan dalam satu seminar
yang diadakan di Hotel Concorde Kuala Lumpur di mana semua parti politik dan
NGO Islam dan bukan Islam telah dijemput. Proses yang sama dilakukan di
Terengganu semasa pemerintahan PAS bersama rakan-rakan yang lain. PAS juga
menerima kunjungan para diplomat asing bukan Islam dan NGO hak asasi manusia
antarabangsa yang datang meminta penjelasan, dengan semua persoalan yang
dibangkitkan telah dijawab dengan baik oleh pimpinan PAS di negeri Kelantan dan
Terengganu. Ahli Parliman PAS juga pernah cuba membawa usul pindaan
perlembagaan beberapa kali dalam tahun 90-an, tetapi dihalang oleh proses
peraturan mesyuarat Dewan Rakyat dan sengaja diletakkan dalam senarai yang
akhir tanpa kesempatan dibahas, apatah lagi untuk ke peringkat kelulusan.
Semuanya
menunjukkan bahawa PAS hingga kini, dan akan datang, akan terus mempertahankan
matlamat dan cita-citanya secara terbuka, menerusi ruang demokrasi yang ada.
PAS akan terus berpegang kepada batas kerjasama tahaluf siyasi(persefahaman)
mengikut batas hukum Islam yang menjadi hukum tertinggi mengikut undang-undang
tubuh PAS. Dalam masa yang sama PAS juga menghormati dan mengakui
akan perbezaan pandangan dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat
dalam beberapa perkara, tetapi semuanya tidak menghalang untuk PAS kukuh
bersama dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat ini untuk bergerak di dasar bersama
yang telah dipersetujui dan kebersamaan untuk memerangi salah guna kuasa,
rasuah, ketirisan, demokrasi songsang amalam BN sejak sekelian lama, dasar
ekonomi pincang yang menekan rakyat dan sebagainya. Ternyata sejak lebih 50
tahun berada di tampuk kuasa, Umno-BN tidak menunjukkan minat untuk melakukan
perubahan yang dinyatakan di atas, di mana mereka hanya berminat membolot kuasa
politik dan pemerintahan untuk meneruskan kerakusan mereka sahaja.
Perlu
juga kita ingat, bahawa Umno adalah parti paling besar menguasai kerajaan
negeri dan persekutuan serta memimpin BN kerana berjaya memujuk bangsa melayu
Islam mengundinya setiap kali pilihan raya umum.
Kerajaan
Umno-BN ini mempunyai kuasa negeri dan persekutuan berlipat kali ganda lebih
daripada PAS. Mereka berkuasa ke atas Institut Kefahaman Islam Malaysia,
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Fatwa Kebangsaan, Jabatan Agama di
banyak negeri dan Pusat Pengajian Tinggi berbagai bidang. Hingga
kini Umno turut juga mempunyai mantan pemimpin PAS yang tidak sabar bersama PAS
kerana terlalu lambat mendapat kuasa di peringkat pusat, lalu bergayut dengan
Umno yang lebih banyak kuasanya di peringkat negeri dan pusat walaupun mereka
tetap tidak melaksanakan tuntutan Islam ini. Hakikatnya ialah Umno wajib meletakkan
pelaksanaan syariat Islam seperti hudud ini di atas kepala dan bahu mereka,
bukannya disepitkan di bawah ketiak untuk hanya dipergunakan bila melawan PAS
atau untuk mendapat undi pilihan raya semata-mata.
Setelah
lebih 50 tahun diberikan kuasa, maka Umno wajiblah mempengaruhi rakannya dalam
BN bagi melaksanakan syariat Islam dan seluruh hukum Islam yang diperintahkan
oleh Allah. PAS pula tentulah wajib menyokong segala usaha melaksanakan hukum
Allah, termasuklah melaksanakan perubahan menyeluruh terhadap sistem ekonomi
dan keadilan dalam masyarakat, membenteras rasuah, salah guna kuasa dan
sebagainya daripada semua pihak.
Maka
berdosalah PAS kalau tidak menyokong dan menolong jika ada usaha ikhlas dan
langkah daripada Umno atau mana-mana pihak yang benar-benar menegakkan hukum
Islam. Malangnya hingga kini tidak ada tanda dan alamat ke arah itu. Bahkan,
seorang Perdana Menteri dari kalangan pimpinan tertinggi Umno lah yang
menghantar surat rasmi kepada kerajaan PAS Kelantan suatu masa dahulu untuk diambil
tindakan sekiranya kerajaan Kelantan berkeras ingin melaksanakan hukum Islam
ini.
Perlu
difahami oleh kita semua, bahawa hukum Allah adalah amanah daripada Allah,
kepada sesiapa sahaja yang mengaku Islam apabila menjadi pemimpin yang
memegang kuasa pemerintahan, bukan hanya khusus kepada PAS sahaja. Kalau tidak
menunaikan amanah ini bermakna khianat, dan sesiapa yang menyokong dan
mendukungnya juga adalah pengkhianat terhadap Allah dan Rasul-Nya. Laknatnya
lebih besar apabila melihat kemungkaran dan jenayah merebak di hadapan mata
kerana gagalnya undang-undang ciptaan manusia, namun tetap mempertahankan
undang-undang yang nyata lemah dan sesatnya.
Malangnya
Umno hanya memalu gendang kosong melalui gendang media yang dikuasainya supaya
PAS bersilat dengan DAP dan ramai yang menjadi pemerhati dan menunggu PAS
keletihan, atau dipersalahkan, lalu tarikh pilihan raya pun diumumkan. Umno
tidak menjawab apabila MCA berkata Umno jangan hilang akal dengan hukum
hudud. Malangnya Umno terus mengulit orang melayu Islam dengan gendang dan alat
medianya, supaya terus menjadi bangsa khayal dengan janji, bangsa pelupa
dan mudah lupa terhadap kesalahan, tenggelam dalam jahil murakkab (tidak tahu,
buat macam tahu).
Kepada
sesiapa yang berkemampuan dan berkenaan pula, termasuklah pengamal media arus
perdana, jangan selama-selamanya menjadi tukang sapu Umno dan pembawa
sampahnya, jagalah maruah diri dan agama sebelum pintu taubat ditutup. PAS
tetap istiqamah dan menerima setiap pandangan membina dan menentang tanpa berganjak
terhadap semua penghalang, yang datang daripada segenap penjuru dan semua
kalangan, sama ada kerajaan, bukan kerajaan, dalam negara dan luar negara,
kerana yakin kepada Islam adalah daripada Allah pencipta alam seluruhnya.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang merupakan Presiden PAS.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home